profile search
latest updates
Press Release
07 Aug | Tuesday
Anugerah Diraja Kewangan Islam 2018 akan berlangsung pada 3 Oktober 2018
Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti ingin mengumumkan bahawa majlis Anugerah Diraja Kewangan Islam akan berlangsung pada 3 Oktober 2018 di Kuala Lumpur.
 
Anugerah Diraja ini merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan yang diberikan kepada individu berwawasan dalam bidang kewangan Islam yang telah memberikan sumbangan yang besar dari segi pencapaian dan inovasi terhadap perkembangan kewangan Islam, ekonomi global dan kemajuan sosial masyarakat di seluruh dunia. Pencarian global telah dibuka pada bulan Januari 2018 dan telah menerima 30 nama daripada 53 pencalonan.  Ini merupakan jumlah pencalonan tertinggi yang pernah diterima sejak Anugerah dwitahunan ini mula diperkenalkan pada tahun 2010.
 
Tun Musa Hitam, Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (World Islamic Economic Forum (WIEF) Foundation) dilantik untuk terus mengetuai panel tujuh orang Juri, yang terdiri daripada para sarjana dan peneraju industri kewangan Islam yang terkemuka iaitu:
 
  • Tan Sri Zarinah Anwar, Pengerusi Malaysia Debt Ventures Berhad;
  • Dato’ Ahmad Tajudin bin Abdul Rahman, Ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia;
  • Mushtak Parker, Editor Islamic Banker;
  • Dr. Mulya Effendi Siregar, President Commissioner PT Bank Mandiri Syariah;
  • Dr. Hamed Hassan Merah, Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Center for Commercial Arbitration; dan 
  • Profesor Emeritus Rodney Wilson, Mantan Profesor Adjung,  Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa  (INCEIF)
 
“Tahun ini menyaksikan pencalonan dari kalangan mereka yang mempunyai  pencapaian yang luar biasa untuk pertimbangan para Juri. Calon-calon ini berasal dari pelbagai negara dan mewakili kumpulan pihak berkepentingan kewangan Islam yang luas, merangkumi pakar Syariah, ahli akademik, pengamal pasaran, institusi penyelidikan, agensi kerajaan dan organisasi multilateral. Kepimpinan berwibawa dan berinspirasi dari seluruh ceruk dunia  ini merupakan elemen penting untuk terus memajukan dunia kewangan Islam pada masa hadapan” ujar Tun Musa Hitam.
 
Para Juri menggunakan kriteria pemilihan yang ketat untuk menilai sumbangan calon-calon terhadap kecemerlangan kewangan Islam pada peringkat global. Ini termasuk pencapaian mereka dalam menerajui pembentukan dasar, membangunkan dan memperluas pasaran, menyokong kewangan Islam, merintis inovasi, memperluas sempadan ilmu pengetahuan dan mempamerkan ciri-ciri kepimpinan cemerlang di samping mempunyai pengaruh yang besar. 
 
Penerima-penerima Anugerah Diraja sebelum ini ialah Profesor Datuk Dr Rifaat Ahmed Abdel Karim, mantan Ketua Pegawai Eksekutif International Islamic Liquidity Management Corporation (2016); Dato’ Dr Abdul Halim Ismail, anggota pengasas bank Islam Malaysia yang pertama (2014); Encik Iqbal Khan, Ketua Pegawai Eksekutif Fajr Capital (2012); dan Shaikh Saleh Abdullah Kamel, pengasas Dallah al Baraka Group (2010). Pada tahun 2010, Anugerah Diraja ini turut mengiktiraf Allahyarham Dr Ahmad El-Naggar yang dikenali sebagai ‘Bapa Perbankan Islam Moden’, secara sebutan khas posthumus.
 
 

NOTA KEPADA EDITOR
 
Mengenai Pasaran Kewangan Islam Malaysia
 
Sejak diperkenalkan lebih 30 tahun lalu, kewangan Islam di Malaysia telah berkembang sebagai sebuah pasaran kewangan Islam yang komprehensif dan sofistikated. Pasaran tersebut mempunyai ciri-ciri kawal selia, pengawasan, rangka kerja Syariah dan perundangan yang mantap, pasaran utama yang luas dan pasaran sekunder sukuk yang aktif, pelbagai penggiat industri dan pangkalan bakat dengan keupayaan global dan hubung kait dengan urusan perniagaan di serata dunia, inovasi produk, jangkauan dan kedalaman serta sistem penyelesaian dan penjelasan pelbagai mata wang yang efisien. Pasaran kewangan Malaysia terbuka kepada penggiat industri global dan peserta pasaran untuk bekerjasama dan meraih manfaat bersama daripada persekitaran perniagaan berinovasi, kepakaran dan proses urus niaga yang sangat kondusif. 
 
Pasaran kami merupakan sebuah ekosistem kewangan Islam yang menyeluruh dan persekitaran perniagaan bagi infrastruktur, inovasi, kepakaran dan aliran urus niaga, yang dikendalikan oleh Komuniti Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), yang terdiri daripada institusi kewangan, firma profesional, pengawal selia dan agensi kerajaan.
 
Untuk maklumat lanjut mengenai pasaran kewangan Islam Malaysia, sila layari www.mifc.com, ikuti kami di @MalaysiaIF dan muat turun MYIF app di Apple Store dan Google Play.
 
 
Mengenai Bank Negara Malaysia
 
Bank Negara Malaysia ialah sebuah badan berkanun yang diberi mandat untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan. Fungsi Bank Negara Malaysia termasuk mengawal selia institusi kewangan dan memantau infrastruktur sistem pembayaran negara.
 
Layari www.bnm.gov.my untuk maklumat lanjut.
 
 
Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
 
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, ialah sebuah badan statutori yang melapor kepada Menteri Kewangan, Malaysia. Badan ini merupakan satu-satunya agensi kawal selia bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab secara langsung bagi menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran termasuk bursa dan rumah penjelasan, serta orang yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati melalui laman sesawang www.sc.com.my. Ikuti SC melalui twitter di @SecComMy untuk maklumat terkini.



Pihak Media boleh menghubungi Pasukan Media di talian 03-26988044 samb. 7773 (Roziah Mohd. Hanifa), 03-26988044 samb. 8843 (Nurhaizi Anis Ahmad), 03-26988044 samb. 8491 (Mohd Nazrul Hafizi Md Jaafar) atau faks kepada: 03-26943724 
 
 
 
 
Print Mail Twitter LinkedIn Facebook Google+
Past Articles
2019
December
November
October
September
August
July
June
May
April
March
January
2018
December
November
October
September
August
July
June
May
April
March
February
January
2017
December
November
October
September
August
July
June
May
April
March
February
January
2016
December
November
September
July
June
May
April
March
2015
June
May
April
March
February
January
2014
December
November
October
September
August
July
June
May
April
March
February
January
2013
December
October
July
May
April
March
2012
December